ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sekiranya kamu mensyukuri nikmat yang ada, nescaya Aku (Allah) menambah nikmat bagimu.”
Ini kerana Allah menciptakan nikmat dan memberikannya kepada sesiapa
saja yang dikehendaki-Nya. Walaupun seluruh kata pujian dan kesyukuran
kita lafazkan untuk memuji-Nya, pasti tidak setanding apa yang Allah
kurniakan kepada kita.
Dalam soal rezeki manusia selalunya berasa bimbang nikmat yang belum
mereka miliki, namun sepatutnya perlu risaukan nikmat sedia ada dan
belum disyukuri. Memikirkan bagaimana untuk mensyukuri itu sebenarnya menambahkan lagi
rezeki. Lumrah hidup ini sebenarnya tidak boleh bersendirian.
Kita memerlukan bantuan orang lain. Contohnya, pelajar memerlukan
guru untuk mendapatkan ilmu. Begitu juga untuk mendapatkan pakaian kita
perlu penjahit, penenun dan penanam kapas. Bagi mendapatkan khidmat
nasihat kesihatan, kita memerlukan doktor atau pegawai kesihatan.
Oleh itu, cuba kita renungkan kebaikan orang di sekeliling yang
banyak berjasa kepada kita. Jika hendak jadi orang yang bersyukur maka
perlu membalas kebaikan orang lain. Anak yang sering mengingati jasa ibu bapa pasti timbul keinginan
untuk berbudi kembali serta menghormati kedua-dua insan yang mereka
sayangi itu.
Kebaikan itulah pembuka dan kunci kepada nikmat lain daripada yang
Maha Kuasa. Maka orang paling beruntung adalah orang yang hatinya
dipenuhi rasa syukur. Lihat saja nikmat pancaindera yang ada pada kita. Bayangkan, jika
kita kehilangan nikmat melihat (mata), ketika itu barulah kita
menghargai apa yang dikurniakan selama ini.
Jika jatuh ditimpa penyakit, ketika itu baru teringat alangkah
besarnya nikmat ketika sihat. Cuma kita kurang menyedarinya dan tidak
mensyukurinya. Nikmat yang besar sebenarnya bermula daripada nikmat yang kecil. Oleh
itu, jangan risau dengan nikmat yang belum kita miliki, sebaliknya
risaukan nikmat yang kita sudah ada tetapi belum disyukuri.
Fikirkan bagaimana kita mensyukuri apa yang kita nikmati. Rasa
kesyukuran mengundang nikmat berikutnya. Kadangkala ada manusia apabila
mendapat kenikmatan berbentuk kedudukan atau harta, mereka berasa bangga
dan mempamerkannya di sana sini. Mungkin kerana terlupa semua itu pemberian Allah. Bagaimana kita mahu menjadi orang yang bersyukur?
Orang yang bersyukur adalah apabila dapat kesenangan, kejayaan atau
kenikmatan, pertamanya dia berfikir semua itu kurniaan Allah, lalu
menggunakan segala kenikmatan itu pada jalan benar supaya mendapat
keberkatannya. Dijaganya nikmat mata untuk melihat yang baik-baik saja, nikmat
telinga untuk mendengar yang bermanfaat, nikmat tangan untuk mengambil
haknya saja, nikmat kaki pula untuk melangkah ke jalan kebaikan.
Jauhilah daripada menyalah guna nikmat yang ada dan gunakan semuanya untuk mendapat keberkatan serta menambah pahala. Selain bersyukur pada Allah, kita perlu mengucapkan syukur kepada manusia yang menjadi jalan kita mendapat nikmat.
Contohnya, anak perlu berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya
kerana anak yang tahu bersyukur pasti membalas budi, membuatkan hidup
mendapat keberkatan. Begitu juga kehidupan suami isteri, mereka perlulah sama-sama
memikirkan kebaikan suami atau isteri, jangan hanya melihat kekurangan
masing-masing.
Sebenarnya, dengan mengenang kebaikan seseorang itulah satu cara kita
mensyukuri nikmat Allah. Cara mensyukuri nikmat Allah juga adalah
memperlihatkan nikmat yang sudah dikurniakan kepada kita, tetapi perlu
berhati-hati supaya terhindar daripada niat untuk mendapat pujian. Betulkan niat kerana kita yakin semua nikmat yang kita terima datang daripada Allah dan hanya Allah yang patut mendapat pujian.
Jika kita yakin semua yang kita miliki adalah milik Allah nescaya
hati kita berasa tenang, tidak sombong, sentiasa bersyukur selalu serta
tidak berdengki dengan nikmat yang dikurniakan kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment