JIKA orang Yahudi selalu bermegah
dengan hari Sabtu sebagai hari kebesaran mingguan mereka, orang Islam
pula dengan hari Jumaat yang disifatkan penghulu segala hari dan hari
raya mingguan umat Muslimin.
Jumaat
mendapat penghargaan istimewa berbanding hari lain sehingga dalam
al-Quran dinamakan satu surah iaitu al-Jumu'ah yang diturunkan di
Madinah dengan 11 ayat.
"Wahai
orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada
hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati
Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli
(pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu
mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (al-Jumu'ah:9)
Menurut
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ia dinamakan surah al-Jumu'ah (hari Jumaat)
kerana pada ayat 9, Allah Taala memerintahkan umat Islam segera ke
tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan
urusan kerja masing-masing seperti berjual beli.
Kitab
itu menerangkan, dalam ayat terbabit Allah Taala menetapkan hari Jumaat
sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad s.a.w serta
memerintahkan supaya mengadakan satu solat khusus menandakan kebesaran
hari Jumaat menggantikan sembahyang Zuhur.
"Dengan
ayat ini dan berikutnya Allah Taala perintahkan umat Islam segera ke
tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan
kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja lain untuk mendengar
khutbah dan mengerjakan solat Jumaat.
"Selesai solat Jumaat, mereka digalakkan untuk meneruskan usaha mencari rezeki sambil mengingati Allah.
"Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat," terang kitab itu.
Nabi
s.a.w juga melalui hadisnya ada menjelaskan kemuliaan hari Jumaat
sebagai hari raya mingguan umat Islam seperti dalam beberapa hadis yang
dinukilkan dari kitab Ihya Ulumiddin karya Imam al-Ghazali.
Diriwayatkan
Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah, maksudnya: "Bahawa ahli dua kitab
itu (orang Yahudi dan Nasrani), diberikan kepada mereka hari Jumaat,
maka bertengkarlah mereka, lalu berpaling daripadanya. Dan diberi
petunjuk kita oleh Allah Taala untuk menerima hari Jumaat itu dan
dikemudiankan oleh Allah memberikannya kepada umat ini dan dijadikannya
menjadi hari raya bagi mereka. Maka adalah umat ini menjadi manusia yang
lebih utama didahulukan dan ahli kedua kitab itu menjadi pengikutnya."
Melalui
hadis lain Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik hari yang
terbit padanya matahari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat, dijadikan
Adam a.s., dia dimasuk ke syurga, diturunkan ke bumi, diterima
taubatnya, dia meninggal dan berdirinya kiamat. Adalah hari Jumaat pada
sisi Allah itu hari kelebihan. Begitulah hari Jumaat dinamakan oleh
kalangan malaikat di langit iaitu hari memandang kepada Allah Taala
dalam syurga." (Diriwayatkan Muslim dari Abu Hurairah)
Al-Ghazali
dalam kitab terbabit berkata, hari Jumaat adalah hari besar dan agama
Islam dibesarkan (dimuliakan) oleh Allah dengan sebab hari berkenaan.
Menurutnya,
orang Islam dikhususkan dengan hari berkenaan dan diharamkan orang
Islam melakukan urusan duniawi, malah setiap perbuatan yang menghalangi
mereka daripada menghadiri masjid menunaikan solat Jumaat.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam
hadis yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan atasmu solat
Jumaat pada hariku ini, pada tempatku ini." (Hadis riwayat Ibnu Majah
daripada Jabir)
Hadis
berkenaan secara tegas memaklumkan kepada orang Islam mengenai
kewajipan meraikan keistimewaan hari yang mulia itu dengan melakukan
solat Jumaat. Sesiapa yang berkewajipan, tetapi tidak menunaikannya
dikira berdosa.
Malah,
Rasulullah s.a.w mengingatkan mereka yang sengaja meninggalkannya
melalui sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali
tanpa halangan, nescaya dicap oleh Allah pada hatinya." (Riwayat Ahmad)
No comments:
Post a Comment